Sumber: BURSA ACADEMY | Diterbitkan: Jun 2020
Ketika dunia mula menyedari bahawa kesan wabak coronavirus berkemungkinan besar mengambil masa yang lama untuk dihapuskan, pasaran di mana-mana sahaja mengalami penurunan dan kenaikan yang belum pernah terjadi sebelum ini. Bahaya perubatan yang ditimbulkan oleh sesuatu pandemik pernah terjadi sebelum ini, namun begitu kekacauan ekonomi yang bakal dicetuskan adalah sesuatu yang belum pernah terjadi.
Berita baik?
Peningkatan ketaktentuan membawa kepada peningkatan peluang untuk mendapat keuntungan dalam jangka masa yang lebih singkat. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa ketaktentuan yang lebih tinggi juga menimbulkan risiko yang lebih tinggi — ia adalah pedang bermata dua. Dengan lonjakan ketaktentuan pasaran, potensi untuk keuntungan melebihi purata meningkat tetapi anda juga menghadapi risiko penyusutan modal dalam masa yang agak singkat.
Dengan pendekatan berdisiplin untuk dagangan derivatif dan melakukan usaha wajar untuk mengurangkan risiko yang terlibat, ketaktentuan boleh menguntungkan anda.
Pengurusan Risiko
Meningkatkan Pertahanan Anda
Pengurusan risiko adalah perkara terpenting apabila anda memulakan dagangan di pasaran yang tidak menentu. Anda hendaklah bersedia secara mental dan taktikal untuk mengurus risiko, memastikan bahawa anda berasa selesa dengan tahap risiko yang mengiringi dagangan dalam persekitaran seperti itu.
Potensi kehilangan modal dengan ketara wujud. Langkah berhemah seterusnya adalah dengan menilai semula langkah-langkah kawalan risiko dalam rancangan dagangan anda.
Dua pertimbangan penting adalah saiz kedudukan dan penetapan hentikan kerugian. Pada masa yang tidak menentu, perubahan harga dari hari ke hari boleh menjadi jauh lebih besar berbanding biasa dan sesetengah pedagang membuat dagangan yang lebih kecil, memperuntukkan modal yang lebih kecil bagi setiap dagangan dan menggunakan kaedah hentikan kerugian yang lebih meluas daripada yang biasa mereka lakukan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kedudukan dagangan ditutup disebabkan oleh turun naik yang lebih besar daripada biasa pada hari tersebut, sambil berusaha untuk memastikan pendedahan risiko keseluruhan serendah mungkin atau sekurang-kurangnya pada tahap yang sama. Pedagang perlu selalu ingat bahawa hentikan pesanan boleh dilaksanakan jauh daripada harga yang ditetapkan sekiranya terdapat jurang harga yang besar atau keadaan pasaran yang cepat berubah.
Untuk mengurangkan risiko, pertimbangkan untuk menggunakan strategi jangka pendek. Ini biasanya melibatkan usaha untuk mengambil keuntungan dengan lebih cepat berbanding pada keadaan biasa. Oleh kerana keuntungan boleh bertukar menjadi kerugian dalam sekelip mata dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu, pelarasan tertentu untuk keluar daripada dagangan dengan lebih cepat perlu dibuat.
Ini boleh dilakukan dengan menetapkan sasaran tertentu peratus keuntungan, menjual sebahagian daripada kedudukan pada peluang pertama pengambilan untung yang baik dan mengekalkan kedudukan selebihnya dengan harapan untuk menjana keuntungan tambahan, menggunakan penunjuk jenis terlebih beli / terlebih jual (sebagai contoh RSI), menjual apabila ia menandakan bahawa sekuriti telah terlebih beli atau mengaktifkan berhenti mengekori (trailing stop) lebih awal daripada biasa dan / atau menggunakan berhenti mengekori yang lebih ketat daripada biasa.
Memfokuskan pada saham yang sedang mengalami aliran arah dengan pasaran juga boleh membantu menguruskan tahap risiko. Di pasaran yang tidak menentu, saham yang sedang mengalami aliran arah mungkin melihat kadar kenaikan aliran arah mereka. Ini bermakna bahawa mencari saham yang sudah mengalami perubahan aliran arah mengikuti pasaran secara keseluruhan mungkin memberi pedagang peluang untuk menjana keuntungan dengan lebih cepat berbanding di pasaran biasa atau pasaran yang lebih senyap.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa semua ini masih mempunyai potensi risiko yang lebih tinggi. Apa yang penting untuk strategi ini adalah mencari saham yang telah mengalami aliran arah yang lebih tinggi (jika pasaran saham berada dalam arah aliran menaik) tetapi yang masih belum mencapai potensi maksima. Sebaliknya, dagangan penjual pendek dalam pasaran yang tidak menentu perlu mencari saham menurun yang belum lagi mengalami 'air terjun' iaitu kejatuhan mendadak. Matlamat di sini adalah untuk membuka kedudukan sebelum berlaku sebarang pecutan dalam perubahan harga.
‘Membeli pecahan' atau ‘buying the breakout’ adalah kaedah lain yang biasa digunakan. Dalam strategi ini, pedagang melihat pecahan daripada penyatuan; mereka memantau dagangan saham dalam jangkauan sokongan dan rintangan yang dapat dikenal pasti. Tidak ada tindakan yang akan diambil selagi saham tersebut berada dalam julat tetapi, sebaik sahaja harga melambung naik, pedagang akan segera membeli saham tersebut.
Alasan di sebalik tindakan ini adalah harapan bahawa pecahan tersebut memberikan isyarat tentang permulaan aliran arah menaik yang baharu untuk saham tersebut. Seperti dalam strategi aliran arah saham, ianya menggunakan fakta bahawa, dalam pasaran yang tidak menentu, harga bergerak dengan pantas dan pecahan menaik mungkin diikuti dengan kenaikan harga yang lebih tinggi dengan cepat.
Potensi yang ada dalam kenaikan harga secara mendadak adalah salah satu alasan utama untuk melakukan dagangan pecahan dalam persekitaran pasaran yang tidak stabil. Walau bagaimanapun, risiko pecahan palsu akan selalu ketara, dan pedagang perlu mempertimbangkan pesanan hentikan kerugian untuk menghadkan kerugian, kerana pembalikan daripada pecahan yang salah boleh menyebabkan kerugian yang lebih besar berbanding di pasaran yang lebih tenang disebabkan oleh kejatuhan harga yang lebih besar.
Dagangan derivatif
Sebaik sahaja anda telah mengambil kira risiko melakukan dagangan dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu, anda boleh mula untuk melihat kontrak derivatif, yang merupakan salah satu cara membina strategi untuk mencapai keuntungan dalam tempoh ketaktentuan tersebut.
Sebaran Kalendar
Sebaran kalendar adalah dagangan serentak yang melibatkan niaga hadapan atau opsyen yang sama di mana instrumen yang tamat pada satu tarikh akan dibeli manakala instrumen yang tamat pada tarikh lain akan dijual. Ia merupakan satu strategi dagangan pasaran neutral untuk memanfaatkan peluang yang diwujudkan oleh ketaktentuan.
Matlamat strategi sebaran kalendar adalah untuk mengambil kesempatan daripada perbezaan yang dijangka dalam ketaktentuan sambil meminimumkan kesan pergerakan dalam sekuriti dasar yang menjana keuntungan daripada satu pergerakan neutral kepada harga sebaran kalendar. Teknik ini biasanya digunakan untuk kontrak niaga hadapan di pasaran komoditi. Dagangan niaga hadapan adalah tidak menentu, kerana kebanyakan harga dipengaruhi oleh keadaan ekonomi makro luaran yang tidak terkawal.
Lindung Nilai
Idea lindung nilai mungkin berasal dari penanaman pokok renek, yang bertindak sebagai pagar semula jadi untuk hartanah dan menghadkan risiko kepada hartanah. Dengan cara yang sama, lindung nilai pelaburan akan melindungi pelabur daripada terdedah kepada situasi yang berisiko. Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna bahawa pelaburan tidak akan kehilangan nilainya. Sebaliknya, lindung nilai cuba untuk mengurangkan kerugian melalui keuntungan daripada pelaburan lain.
Amalan lindung nilai menyebabkan timbulnya istilah ‘dana lindung nilai’ dalam satu artikel yang mendakwa bahawa pelabur boleh memperoleh keuntungan yang lebih tinggi sekiranya lindung nilai dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan yang lebih luas. Ungkapan 'lindung nilai pertaruhan anda' adalah merujuk kepada usaha untuk mengurangkan risiko pelaburan seseorang.
Untuk lindung nilai, pelabur sering menggunakan derivatif, yang terdapat dalam pelbagai bentuk seperti niaga hadapan, hadapan, opsyen dan pertukaran. Derivatif yang paling sering digunakan untuk lindung nilai adalah kontrak niaga hadapan, yang merupakan kontrak dua pihak yang menetapkan harga dan masa untuk membeli atau menjual sesuatu aset dasar. Kontrak ini secara khusus menangani syarat masa depan yang telah dipersetujui sebelumnya. Dengan melakukan perkara tersebut, kedua-dua pihak dapat melindungi diri mereka, sekurang-kurangnya sebahagiannya, jika perubahan yang tidak dijangka mempengaruhi pasaran kewangan.
Arbitraj
Apabila derivatif diperdagangkan di atas atau di bawah ‘nilai saksama’ mereka, strategi arbitraj boleh dilaksanakan dengan membeli atau menjual derivatif sambil menjual atau membeli saham dasar secara serentak.
Strategi arbitraj adalah cara lain yang mudah dan bijak untuk merebut peluang bagi memperoleh harga yang lebih tinggi dengan keuntungan yang tetap. Ia melibatkan membeli aset pada harga yang lebih rendah dan secara serentak menjual aset tersebut di pasaran lain dengan harga yang lebih tinggi, strategi yang biasa digunakan dalam pertukaran pasaran.
Dalam kehidupan sebenar, konsep ini kini wujud hanya untuk tempoh yang singkat sejak dagangan arbitraj telah diambil alih oleh dagangan berasaskan algoritma dalam pasaran yang matang. Dengan bantuan algoritma, arbitraj boleh ditemui dengan mudah dan ditawarkan kepada para pedagang untuk dipantau.
Strategi Berarah
Memerhatikan corak dan data dagangan apabila berlaku pengumuman pasaran sangat penting ketika menentukan kemungkinan berlakunya tren bulis atau bearis yang memberi maklumat kepada pelabur ketika berdagang. Penelitian ini memungkinkan tindakan yang tepat dibuat.
Dalam pasaran bear di mana penurunan pasaran adalah dijangka, kontrak FKLI boleh mula dijual dan kemudian dibeli semula apabila harga menurun, yang menghasilkan keuntungan. Dalam pasaran bul di mana kenaikan pasaran adalah dijangka, kontrak FKLI boleh digunakan dengan pertama sekali membeli kontrak dan kemudian menjualnya pada harga yang lebih tinggi.
Keuntungan yang lebih tinggi akan selalu menarik minat para pedagang tetapi, dalam pasaran yang tidak stabil, peluang yang diwujudkan oleh pergerakan harga boleh dengan pantas mempercepatkan keuntungan melebihi apa yang mereka biasa peroleh atau harapkan. Apabila ketaktentuan pasaran mencapai tahap tertentu, keadaan boleh berubah dengan cepat. Perhatian yang lebih mendalam dan perubahan taktik yang cepat mungkin diperlukan. Kuncinya adalah untuk membuat persediaan terlebih dahulu dan sentiasa menilai semula strategi anda. Sentiasa memastikan bahawa anda selesa berdagang ketika ketaktentuan adalah tinggi, bahawa anda telah menilai potensi kerugian yang besar dan bahawa anda sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapinya.
Perkasakan diri anda dengan strategi ini dan bergerak maju ke pasaran yang menarik!
Tag: PASARAN TIDAK MENENTU, PENGURUSAN RISIKO, PERDAGANGAN & RISIKO, PERDAGANGAN ARAH, PERDAGANGAN DERIVATIF